- Back to Home »
- DU'AT , EVENTS »
- Diskusi Ulul 'Ilmi & Turats (DU'AT): MESIR BUMI 1000 TRIBULASI
Posted by : ISRAK
1 Sept 2013
Artikel ini adalah berdasarkan isi-isi yang disampaikan oleh panelis DU'AT dalam sidangnya yang pertama.
Mesir merupakan sebuah negara
yang di dalamnya tersimpan pelbagai khazanah sejarah yang tidak ternilai
harganya apatah lagi apabila sejarah itu terkait dengan perjalanan hidup para
anbiya’. Maka tidak hairanlah apabila
Mesir digelar sebagai bumi anbiya’. Ada beberapa orang Rasul yang telah
diutuskan oleh Allah ke Mesir. Antaranya Nabi Musa a.s. Nabi Harun a.s, Nabi
Yusuf a.s, Nabi Yaakub a.s, dan lain-lain lagi.
“Dan
(setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun):
Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum
kamu dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat solat, serta dirikanlah solat di
dalamnya dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman
(bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.
(Yunus:87)
Maka
tatkala mereka (Nabi Ya`qub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf,
Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata:
"Masuklah kamu ke negeri Mesir, Insya Allah kamu berada di dalam
aman".
(Yusuf:99)
Ada satu
pendapat menarik yang dikemukakan oleh Syeikh Tantawi jauhari di dalam
tafsirnya Al Jawahir. Menurut beliau, Nabi Idris a.s juga pernah menetap di
Mesir dengan nama panggilannya di Mesir sebagai Osiris. Pendapat ini turut di
sokong oleh Syed Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran.
Mesir dan Kepentingannya
Dari sudut
geografinya, Mesir terletak berdekatan dengan Syria dan Palestin sekaligus
menjadikannya sebagai salah sebuah negara yang sangat-sangat ditakuti oleh
Israel zionis laknatullah andai kata Islam ditegakkan di atasnya. Hal ini
kerana penegakkan Islam di bumi Mesir bakal mengagalkan rancangan mereka untuk
menguasai Palestin seluruhnya.
Sejarah telah
menunjukkan bahawa untuk menguasai Palestin, Saidina Umar masuk melalui Syria
sedang Salahuddin Al Ayyubi pula masuk ke Palestin melalui Mesir. Justeru, tidak hairanlah apabila kedua-dua
negara ini sedang bergolak hasil daripada tangan-tangan rahsia Israel dan
Amerika.
Pentingnya
Mesir kepada kita umat islam khususnya di Malaysia ialah ia merupakan penentu
kepada sejauh mana pendirian kita terhadap kepimpinan Islam.
Sekilas Konflik Mesir
Mesir mencapai
kemuncak kebangkitannya tatkala Presiden Morsi, seorang pemimpin berjiwa Islam
daripada Ikhwanul Muslimin memenangi pilihan raya Mesir yang paling telus buat
pertama kalinya dalam sejarah Mesir. Kemenangan itu merupakan impak kepada
penat jerih Ikhwanul Muslimin mengikat kesatuan dan ukhuwwah rakyat Mesir itu
sendiri. Akhirnya, hasil daripada itu, lahirlah pejuang-pejuang Islam yang
berani untuk menegakkan kebenaran dan membuang jauh kemungkaran.
Dan
janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu
sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
(Al
Baqarah:42)
Namun, kemenangan itu hanyalah merupakan titik
mula bagi segala konflik yang berlaku di Mesir. Selepas memenangi pilihanraya,
Morsi cuba untuk menyingkirkan saki baki tali barut Hosni Mubarak yang ada di
dalam institusi pemerintahan Mesir. Di dalam ketenteraan, Mohammed Hussein
Tantawi digantikan dengan Abdel Fattah As Sisi oleh Morsi. Tindakan Morsi yang
dikatakan cuba untuk mengukuhkan kuasanya dan Ikhwanul Muslimin tidak disenangi
oleh pembesar-pembesar Mesir (yang kebanyakannya merupakan macai-macai Hosni
Mubarak), golongan sekular dan golongan liberal. Mereka lantas menimbulkan isu
elektrik dan petrol untuk mewujudkan cubaan menjatuhkan Presiden Morsi.
Dalang kepada
komplot menjatuhkan Morsi kian terdedah apabila setelah Morsi digulingkan,
Hosni Mubarak pula dibebaskan. Alasannya, bukti telah hilang.
Khilaf Ulama'
Konflik di Mesir semakin panas
apabila terdapat beberapa perselisihan faham dalam kalangan ulama’ dalam hal
yang berkaitan dengan demonstrasi di Mesir ini. Pendapat pertama adalah
pendapat yang menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera dan menolak
demonstrasi yang dilakukan oleh penyokong Morsi. Pendapat ini dikeluarkan oleh
Syeikhul Azhar, Syeikh Dr. Ahmad Tayyib. Alasannya beliau menegaskan bahawa semua
pihak perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi semua perkara kerana
perjalanan umat dan masa depan negara bukannya milik individu dan kehormatan
jiwa manusia ialah perkara yang tidak boleh dilanggar. Menurut beliau lagi demonstrasi aman dibenarkan
oleh syarak selagi mana bebas daripada segala bentuk keganasan dan pertumpahan
darah.
Pendapat yang menolak rampasan
kuasa ini pula dikeluarkan oleh Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi. Beliau berkata
jika Presiden Mursi melakukan sesuatu perkara yang ternyata ianya adalah
maksiat kepada rakyat dan negara maka jangan mentaatinya akan tetapi jika
beliau masih lagi seorang presiden yang menjalankan hak rakyat dan negara serta
membawa ke arah kebaikan maka wajib untuk rakyat Mesir mentaatinya. Pendapat
yang menolak rampasan kuasa ini turut disokong oleh beberapa ulama’ besar yang
lain.
Sikap Kita
Sikap kita dalam menghadapi
khilaf ini ialah kita tidak boleh terus menyalahkan ulama’ yang bertentangan
dengan kita. Sesungguhnya, kita meyakini bahawa setiap ulama’ ini mengeluarkan
pendapat mereka berdasarkan ilmu yang ada pada mereka. Kita yang masih lagi
bermalas-malasan dalam menuntut ilmu ini tidak sewajarnya mencaci maki ulama’-ulama’
ini. Berlapang dadalah dalam menghadapi khilaf ulama’.
Adapun pendirian DU’AT dalam hal
ini, kami mengambil pendapat yang disokong oleh ramai ulama’ yang muktabar.
A’la Kulli Hal, ulama’ memainkan
peranan yang cukup penting dalam menangani segala permasalahan yang berlaku di
dalam dunia Islam umumnya dan isu Mesir khususnya. Sesungguhnya ulama’ itu pewaris
para nabi. Dan Ulama’ yang sebenar-benarnya ialah mereka yang mempunyai ilmu,
tawadhu’ dan paling dekat dengan Allah.
"Hanya semata-mata yang takut
kepada Allah daripada kalangan hambanya ialah Ulama."
(Al Fathir: 28)
" Allah mengangkat darjat
orang yang beriman dan golongan yang berilmu pengetahuan dan Allah amat
mengetahui apa yang kamu kerjakan"
(Al Mujadalah : 11)
Antara peranan ulama’ dalam
menghadapi isu seperti ini ialah:
1 )Menegakkan kebenaran
2 )Menyatukan umat Islam
3 )Menasihati pemimpin
Islah Diri
Sebagai kesimpulannya, isu mesir
ini merupakan suatu isu yang besar yang berlaku dalam dunia Islam. Kita
sewajarnya mengambil serius akan hal yang berlaku di Mesir sekarang ini.
Sedarlah bahawasanya umat Islam sekarang dicaci, dimaki, dihina dan dikeji.
Islam memerlukan mereka yang mampu untuk menaikkan kembali syiarnya. Dan semua itu
bermula daripada diri kita. Muhasabah diri kita sejauh mana sumbangan yang kita
berikan kepada Islam. Daripada situ, mulalah baiki diri kita ke arah menjadi
pemuda harapan Islam yang akan menjunjung tinggi kalimah suci “Tiada tuhan
selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah.”
Panelis Sidang DU'AT Pertama:
- Muhammad Suhaib 'Arifuddin bin Baharum
- Amir Atiq bin Zarzaie
- Mohd Asfa bin Hafidz
Diskusi Ulul 'Ilmi & Turats (DU'AT) merupakan sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Biro Education & Training Islamic Revealed Knowledge & Heritage Society (EnT ISRAK) dengan kerjasama Biro Publication & Promotion (PubPro ISRAK). Badan ini bertindak sebagai platform dakwah untuk pelajar IRK. Dari sudut keahlian, setakat ini ahli DU'AT hanya terdiri daripada pelajar muslimin IRK 2nd Year 2013/2014 sahaja.