- Back to Home »
- DU'AT , EVENTS »
- Seruan DU'AT: Isu Mesir
Posted by : ISRAK
9 Sept 2013
Sidang DU’AT yang pertama telah mencapai satu persepakatan bahawasanya dalam menangani isu Mesir, bergantung harap kepada doa sahaja tanpa ada tindakan selanjutnya tidak mencukupi. Bertitik tolak daripada situ, DU’AT telah menggariskan beberapa tindakan lain yang sewajarnya dilakukan oleh pelajar Ilmu Wahyu sebagai tanda solidariti kita terhadap isu umat Islam. Berikut merupakan pelan tindakan tersebut:
- 1) Jatuhkan Yahudi di tempat kamu dahulu
Seorang ilmuwan Islam di Palestin apabila diberitahu bahawa terdapat golongan pemuda di luar Palestin ingin turun mempertahankan Palestin bersama-sama pejuang Palestin memberi responnya dengan berkata, “Yahudi di tempat kamu sendiri sudah ada. Jatuhkan dahulu Yahudi di tempat kamu,” Kata-kata ini mengisyaratkan kepada kita bahawa untuk menangani masalah global umat Islam, kita perlu tegakkan dahulu syariat Allah di atas tanah air sendiri. Untuk menegakkan syariat Allah di negara kita, kita perlu melalui tahapan-tahapan tertentu sebagaimana yang telah digariskan oleh ulama’-ulama’ haraki. Tahapan itu bermula dengan fardu Muslim, yakni peribadi seorang muslim itu sendiri. Maka, perkara pertama yang perlu kita lakukan dalam menangani isu Mesir ini ialah islah diri kita dahulu. Hassan Hudaibi, seorang tokoh gerakan Islam pernah berkata, “Tegakkan negara Islam di dalam jiwa kamu, nescaya akan tertegak di negara kamu.
Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11
- 2) Menuntut Ilmu
Sesungguhnya antara penyebab utama berlakunya konflik di Mesir adalah kerana kejahilan penduduk Mesir itu sendiri dalam memilih pemimpin dan kejahilan pemimpin itu sendiri dalam membuat keputusan. Dalam hal ini pemimpin yang dimaksudkan di sini adalah pemerintah tentera. Sabda Nabi s.a.w
“Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu secara sekaligus. Akan tetapi, Allah mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama. Apabila tidak tersisa lagi orang yang berilmu, maka manusia mengangkat pemimpin yang bodoh, mereka ditanyai dan berfatwa tanpa didasari ilmu, mereka sesat lagi menyesatkan.”
Dalam hadis ini, kita mendapat tahu bahawa alasan mengapa umat manusia mengangkat orang yang bodoh sebagai pemimpin adalah kerana kurangnya para ulama’. Justeru, untuk memastikan institusi ulama’ sentiasa berterusan, DU’AT menyeru kepada semua pelajar Ilmu Wahyu untuk mendalami sedalam-dalamnya ilmu agama. Ingatlah bahawasanya kita ini adalah pewaris para ulama’. Ini bermakna, bebanan yang dipikul oleh ulama’ tidak dapat tidak akan dipindahkan ke atas kita. Oleh itu, pengukuhan ilmu perlu dilakukan sejak dari awal lagi. Dan DU’AT berpendapat bahawa dengan hanya menfokuskan ilmu yang diperoleh daripada subjek university sahaja tidak mencukupi untuk melayakkan kita mencapai martabat alim agama. Oleh hal yang demikian, DU’AT menggalakkan kepada semua penuntut ilmu wahyu untuk mencari kelas pengajian luar bagi memantapkan ilmu mereka.
Selain itu, DU’AT juga menyeru kepada pelajar Ilmu Wahyu untuk menyemai budaya membaca dalam diri. Sesungguhnya membaca itu merupakan arahan pertama yang diturunkan oleh Allah kepada umat Nabi Muhamad s.a.w.
- 3) Solat
Firman Allah swt:
“Minta tolonglah kepada Allah swt dengan sabar dan solat”
Sehubungan dengan itu, DU’AT menyeru kepada semua penuntut ilmu wahyu untuk menjaga solat dari sudut memperbaiki kesempurnaan solat fardu dan memperbanyak amalan solat sunat serta melazimi solat secara berjemaah. Solat secara berjemaah merupakan titik penting dalam menghadapi isu seperti di Mesir. Andai kata solat secara berjemaah dijaga dengan sebaikknya dengan turut menjaga kesempurnaan safnya, Allah akan menyatukan hati-hati umat Islam di sekeliling kita
- 4) Ukhuwwah
Kunci kepada kemenangan dan kebangkitan umat Islam adalah kesatuan. Kesatuan Islam pula dibina melalui ukhwah yang mantap berteraskan kepada Allah swt.Kata as syahid Imam Hasan al Banna, “ ..Aku maksudkan dengan ukhuwwah ialah : Hati dan jiwa ditautkan dengan aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan paling berharga. Ukhuwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang.” Justeru, pelajar Ilmu wahyu diseru untuk menjaga ukhwah sesama mereka khususnya dan sesama pelajar uia umumnya.
Segala apa yang kami usulkan ini merupakan langkah awal bagi menunjukkan kesungguhan kita untuk menolong umat Islam yang berada di dalam kesusahan. Moga-moga usaha yang kita lakukan ini akan memberi impak, kalau tidak banyak, sedikit pun tidak apa, kepada umat Islam seluruhnya.